“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang
gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan
dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta
Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi
sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan
sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak
lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya
jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah
SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan
pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan
bersopan tanpa berkata apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang
menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi
dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah
baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan
makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya,
Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu
kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan
yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam
rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan,
ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan
ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang
pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke
mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang
menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya
seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad
lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad
untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan
yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum
ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta
itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke
mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu
mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan
Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina
Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi.
Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia
terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke
mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas
pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih
memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap
pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu
Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya
pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke
rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu
Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang
terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu
Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya.
Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu
mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru
didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit
pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku
dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat
memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa
dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,”
beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin
mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis
buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di
hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa
pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah..
kisah nabi muhammad saw dengan orang yahudi
Reviewed by Smd
on
October 25, 2017
Rating:
No comments: